Saturday, February 19, 2011

sehelai surat saman


        “ Biar abang bawa. Nanti kena saman lagi,”
    Dhaniah mencebik. Zaki tersenyum sambil membuka pintu kereta. Dhaniah pula tanpa banyak bicara terus mengambil tempat di tempat sebelah duduk penumpang. Biarlah Zaki sahaja yang memandu. Dia boleh bersantai di sebelah. Sebaik sahaja kereta bergerak, spontan bibirnya mula melantun kata. Pebagai peristiwa sepanjang persediaan majlis sehingga majlis selesai bermain di kepalanya. Semuanya mahu dikongsi dengan Zaki. Zaki pula terbuai leka mendengar celoteh isterinya sambil memandang inai yang masih merah di jari setiap kali tangan Dhaniah terawang-awang sambil mulut riuh bercerita. Tidak sangka isterinya ini begitu peramah orangnya. Sesekali dia turut tergelak mendengar cerita lucu dari bibir Dhaniah. Namun, bunyi siren di belakangnya menyentap lekanya. Dari cermin dia terlihat sebuah motor besar cuba memotong keretanya sambil melambai.
        “ Kita langgar lampu merah ke? “ tanya Zaki.
   Dhaniah melopong sambil mengangkat bahunya menunujukkan dia tidak tahu. Zaki lantas memperlahankan kereta ke gigi jalan. Dhaniah memusingkan kepalanya.
        “ Agaknya la bang ,” ujarnya perlahan apabila melihat kenderaan lain berhenti di lampu isyarat yang baru sahaja suaminya lepasi.
       “ Kahwin saja dengan Yah, terus abang kena saman.” Dhaniah tersengih .
       “ Mana dompet abang? Abang nak ambil lesen.”
       “ Hah ?” Dhaniah terdiam seketika.
      “ Wallet. Kan abang suruh Yah ambil tadi sebelum kita keluar.”
      “ Yah tak dengar bang !” Zaki ternganga.
      “ Dhaniah Osman !“
      “ Ya , Zaki Hj Nordin !”
Ketukan di pintu keretanya membantutkan rasa geram yang bertandang . Mereka berpaling. Seorang polis trafik bermisai tebal sudah tercegat sambil memeluk tubuh.
*                                                              *                              
       “ Alamak ! Mampus aku,” getus Dhaniah sambil mengetap bibirnya. Keretanya diperlahankan sebelum dia berhenti di gigi jalan. Ketukan perlahan di cermin keretanya memaksa dia berpaling. Cermin keretanya diturunkan. Lelaki berkaca mata hitam dan beruniform putih itu melemparkan sekuntum senyuman. Manis, tetapi dia tidak ada hati untuk membalas juga senyuman itu dengan senyuman manis. Sekarang , hatinya kecut.
       “ Selamat petang cik,” Dhaniah sekadar melemparkan senyuman nipis.
    “ Sila serahkan kad pengenalan dan lesen cik,” Dhaniah tersenyum sumbing. Sah. Mesti dia kena saman lagi. Perlahan dia keluarkan kad pengenalan dan lesen dari beg duitnya lalu dihulurkan pada lelaki itu.
    “ Lampu merah tadi cik.”
    “ Saya tak perasan. Betul-betul tak perasan. Maaflah. Saya tengok jalan lengang, terus jalan. Tak perasan lampu  merah. Maaf sangat-sangat encik.”
    “ Janji lepas ini tak buat lagi ya. Kalau selalu macam ini bahaya,” Lelaki itu senyum sambil kaca matanya ditanggalkan. Dia mengeluarkan buku kecilnya.
    “ Tolonglah encik. Tak payahlah saman. Kita selesai disini sahaja.”
    “ Jangan cik. Tak baik bagi rasuah,” selamba sahaja lelaki itu bersuara sambil membelek kad pengenalan dan lesen memandu di tangannya. Kata-katanya membuat wajah Dhaniah terasa membahang. Malu disindir begitu.
   “ Siapa kata saya nak bagi rasuah? Saya cuma…”
   “ Cuma apa?” mata mereka sudah berpandangan. Dhaniah mengerutkan kening seketika sambil mengangkat tangan menuding jari telunjuknya ke wajah lelaki itu.
   “ Zaki! ” Polis trafik di hadapannya itu cuma mengerutkan kening.
   “ Zaki. Ini Dhaniah. Takkan dah lupa,” Lelaki itu senyum sambil menulis sesuatu.
   “ Ala… tak payahlah saman. Bagilah peluang pada saya,” Dhaniah memujuk.
   “ Kalau tak mahu kena saman mesti patut lebih berhati-hati,” jawab lelaki itu sambil menggeleng kepala. “ Nah. Saman cik. Lain kali hati-hati. Bahaya kalau langgar lampu merah macam ini. Nasib baik tak ada kenderaan lain tadi. Kalau ada ? Macam mana ?”
Dhaniah menyambut kertas yang dihulur dengan muka yang sedikit kelat. Geram. Zaki langsung tak bagi peluang.
     “ Dan… ini nombor telefon saya, Dhaniah. Lama betul tak jumpa. Makin cantik awak, ya? “
Dhaniah ternganga. Cebisan kertas yang lelaki itu hulurkan disambut tanpa sedar.
     “ Ok. Jumpa lagi. Jangan lupa telefon. Boleh keluar makan sama-sama. Jangan ulang kesalahan trafik,” sempat lelaki itu kenyitkan mata sebelum berlalu ke arah motor besarnya. Dhaniah mengetap bibir. Geram. Dia memandang kosong motor Zaki yang berlalu.
      “ Hantu raya punya Zaki. Memang betul anak hantu. Dah siap saman aku, boleh pula bagi nombor telefon. Maaflah Zaki. Tak ingin aku nak telefon kau,” mengomel dengan muncung yang cukup panjang, cebisan kertas di tangannya, dicampak ke jalan.
       “ Bukan salah saya. Saya bagi nombor telefon, awak campak tepi jalan. Sampai hati awak. Saya minta semula hari itu, awak jual mahal. Nak jumpa dengan awak, terpaksalah minta tolong Shima. Nasib baik dia nak tolong. Itu pun kena bagi rasuah.”
       “ Hai Encik Zaki, tak baik bagi rasuah,” sindir Dhaniah selamba.
       “ Tak apa. ini namanya rasuah cinta. Rasuah cinta yang lebih tepatnya dipanggil pengorbanan.”
Dhaniah mencebik membuat Zaki ketawa besar.
      “ Jadi, boleh pesan makanan sekarang?
Zaki tersenyum sambil melambai pada pelayan restoran. Dhaniah tersenyum sambil mencapai menu.
      “ Kenapa saya nampak senyum awak, macam senyum jahat je?” Dhaniah diam mendengar soalan itu dan cuma membiarkan senyum terus terukir di bibirnya.
*                                                               *
Dhaniah manggaru kepala. Apa pula kali ini? Mahu tidak mahu, keretanya diberhentikan di gigi jalan. Dia tunduk. Lengkap bertali pinggang keledar. Apa pula salahnya kali ini. Lampu merah sebentar tadi pun, tidak dilanggarnya.
Ketukan perlahan di pintu kereta memaksa dia mendongak, memandang wajah Zaki yang tersengih panjang. Dengan malas cermin kereta diturunkan.
       “ Kenapa ini? Saya tak ada buat apa-apa oun ya. Kenapa tahan saya?” Dhaniah mempertahankan dirinya.
       “ Jom!”
Dhaniah merenung tajam. “ Jom ke mana?”
       “ Jom kahwin,” Dhaniah mencebik. Zaki tersenyum.
       “ Awak nak ke mana?”
      “ Suka hati sayalah. Tak ada kena mengena dengan awak,” jawab Dhaniah keras.
      “ Jomlah. Saya belanja awak minum.”
     “ Tak nak la.” Dhaniah mengelak.
     “ Jomlah. Ajak kahwin tak nak. Ajak minum pun tak nak. Surat cinta saya masa tingkatan 3 pun awak tak balas. Apa ni? Surat saman saya saja awak perasan agaknya?”
Dhaniah tergelak mendengar bebelan itu. Kelakar ditelinganya. Bunyi hon menarik perhatiannya. Juga membuat Zaki sedikit terkejut.
        “ Zaki!” dia menjerit kuat.
Belum sempat berbuat apa-apa, tubuh Zaki sudah tercampak dilanggar sebuah motosikal. Pantas Dhaniah keluar dari kereta. Zaki sudah terbaring di tepi jalan. Laju dia mendapatkan lelaki itu.
       “ Zaki! Awak ok tak?” suaranya menggeletar. Dengan tangan yang menggigil dia memangku Zaki ke ribanya. Air matanya menitis tanpa sedar.
       “Zaki. Tolong. Buka mata,” dia bersuara lagi. Gerun melihat darah yang mengalir di kepalanya dan kakinya yang turut lecun dek darah merah.
       “ Zaki. Saya tak nak kehilangan awak!” jeritnya hiba. Dadanya berombak kencang sedikit mereda, apabila mata lelaki itu terbuka perlahan-lahan.
       “ Saya sayang awak Dhaniah. Saya cinta awak !”
*                                                                             *                                                                                     
      “ Abang tak pernah kena saman. Sejak jadi polis trafik, abang tak pernah kena saman. Baru nak masuk dua hari kahwin dengan Dhaniah, dah terkena.”
      “ Ala… selalu asyik saman orang, sesekali kena saman. Apa salahnya,” gumam Dhaniah perlahan.
     “ Apa Dhaniah cakap?”
     “ Tak ada apa-apa bang. Dhaniah gurau saja,” gelak Dhaniah sambil cuba bergerak cuba lari dari pelukan Zaki. Dhaniah terjerit kecil apabila Zaki memeluk pinggang sambim menggeletek pinggangnya.
     “ Gurau ya? Jom la kita bergurau.”
Dhaniah tergelak kegelian apabila Zaki terus menggetek tubuhnya. Zaki turut tergelak senang melihat wajah Dhaniah sudah memerah menahan gelak dan geli.


rujukan : http://www.google.com.my/